Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Perumahan Negeri Pahang, YB. Dato' Abd Rahim Muda bersama Setiausaha Bahagian, Bahagian Perumahan, YH Dato' Azlan Mohd Yaman (kanan) melawat tapak projek PRIMA Bina Saujana di Cameron Highlands.

31 PROJEK RUMAH PR1MA TIDAK BERDAYA MAJU PAHANG DIBATALKAN

Oleh: Ain Nadhirah Basha
Foto: Mahathir Ali

CAMERON HIGHLANDS, 10 SEPTEMBER 2020 : Sebanyak 31 projek rumah PR1MA Pahang telah dibatalkan oleh Kerajaan Negeri setakat ini disebabkan tidak berdaya maju.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Perumahan Negeri Pahang, YB. Dato’ Abd. Rahim Muda berkata Kerajaan Negeri telah meletakkan syarat supaya pihak pemaju memperoleh kebenaran merancang dalam tempoh setahun kelulusan dikeluarkan.

“Kita bagi kebenaran merancang setahun sahaja. Lepas setahun, jika masih tak ada kebenaran merancang, kita akan ambil tindakan batal.

“Kita tak nak projek banyak tapi rupanya atas kertas sahaja, tak dilaksanakan. Ini kerana rakyat sedang menunggu,” katanya.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Perumahan Negeri Pahang, YB. Dato’ Abd Rahim Muda bersama Setiausaha Bahagian, Bahagian Perumahan, YH Dato’ Azlan Mohd Yaman (tengah) melihat pelan projek ketika melawat tapak projek PRIMA PNA Quarry di Brinchang, Cameron Highlands.

Beliau berkata demikian ketika melawat tapak pembinaan rumah PR1MA Pahang di Tanah Rata di sini yang turut dihadiri Setiausaha Bahagian, Bahagian Perumahan, YH. Dato’ Azlan Mohd Yaman.

Beliau berkata YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail sendiri turut memantau perkara ini.

“YAB Menteri Besar Pahang memantau perkara ini dan telah mengarahkan saya dan Bahagian Perumahan menyemak mana-mana pemaju yang telah kita luluskan untuk buat projek PR1MA ini supaya terus bertindak untuk melaksanakan projek.

“… kita memberi tempoh masa kepada pemaju-pemaju supaya ikut syarat yang ditetapkan oleh Kerajaan Negeri, Bahagian Perumahan dan juga PBT, dalam tempoh setahun tu mesti selesaikan masalah kebenaran merancang.

“Lepas dapat kebenaran merancang, dia (pemaju) mesti masuk untuk pelan bangunan supaya projek ini dapat dipercepatkan.Bukan dah lulus, tapi tunggu tiga empat tahun, tunggu lima enam tahun, baru nak mulakan pembinaan,” katanya.

YB. Dato’ Abd Rahim bin Muda menunjukkan tapak projek PRIMA PNA Quarry di Brinchang, Cameron Highlands.

Beliau berkata setakat ini pihaknya telah menerima 32,000 permohonan bagi rumah PR1MA Pahang tetapi baru menyiapkan 4,000 rumah sahaja.

“Kita ada data sekarang 32,000 untuk rumah PR1MA tapi kita baru siap sekarang 4,000 lebih. Jadi kita masih ada dalam 28,000 rumah lagi yang belum siap.

“Jadi kita pantau setiap pembinaan ini dan kita jangkakan dalam tempoh lima tahun semua rumah tersebut boleh disiapkan dan boleh diduduki,” katanya.

Mengulas mengenai rumah PR1MA Pahang di Cameron Highlands, beliau berkata setakat ini lapan projek PR1MA Pahang telah diluluskan oleh Kerajaan Negeri di daerah ini.

“Setakat ini lapan projek ini telah mendapat kelulusan Kerajaan Negeri dengan tiga telah siap, satu dalam proses pembinaan dan empat lagi dalam proses untuk kebenaran merancang bagi dilaksanakan mengikut syarat-syarat yang telah ditetapkan oleh undang-undang Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

“Alhamdulillah setakat ini kita lihat projek yang dalam proses pembinaan ini mengikut jadual yang ditetapkan kerana rumah yang di bina ini adalah rumah mesra rakyat yang mana pemohon adalah mereka yang sangat memerlukan rumah. Jadi pembinaan mengikut jadual adalah perlu,” katanya.

Seorang kakitangan Kerajaan Negeri melihat pelan projek PRIMA PNA Quarry di Brinchang, Cameron Highlands.

Beliau berkata rumah PR1MA Pahang di Cameron Highlands adalah berbeza berbanding rumah PR1MA di kawasan lain kerana ia berkonsepkan strata.

“Di Cameron Highlands ini, rumah tak seperti di tempat-tempat lain. Di sini berkonsep strata, rumah bertingkat sebab tanah tinggi ni nak cari tanah yang rata tak ada, jadi kita nak sesuaikan dengan keadaan di Cameron Highlands ini supaya tidak terlalu banyak tanah dibuka.

“Rumah PR1MA Pahang di sini dijual dengan harga RM200,000 bagi tiga bilik dan dua bilik air dengan keluasan kira-kira 1,000 kaki persegi berbanding di kawasan lain yang dijual dengan harga RM150,000 bagi rumah jenis semi-d dengan keluasan yang sama.

“Namun rumah PR1MA Pahang ini adalah yang terbaik untuk rakyat di negeri ini kerana harga, kita (Kerajaan Negeri) kawal dan kualiti rumah juga kita jaga,” katanya. – PAHANGMEDIA

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter
Share on whatsapp
WhatsApp
Share on telegram
Telegram

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download
Please follow and like us:
error
error: