Bekalan makanan sumbangan Ahli Parlimen Indera Mahkota untuk pelajar UIAM Kuantan.

300 PAKET BEKALAN MAKANAN DISAMPAIKAN KEPADA PELAJAR UIAM KUANTAN

Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Mahathir Ali

KUANTAN, 20 MAC 2020 : Sebanyak 300 paket bekalan makanan telah disediakan oleh Ahli Parlimen Indera Mahkota yang juga Menteri Komunikasi dan Multimedia, YB. Dato’ Saifuddin Abdullah kepada para pelajar Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Kuantan yang berada di kampus berikutan Perintah Kawalan Pergerakan yang dikeluarkan.

Bekalan makanan secara bungkus itu disampaikan kepada Timbalan Pengarah Kampus UIAM Kuantan, Professor Dato’ Dr. Ariff Osman oleh Pegawai Tugas Khas Dato’ Saifuddin, Encik Hussainordin.

Dato’ Dr. Ariff berkata bantuan makanan berupa biskut, mee segera, roti, air mineral dan minuman 3 dalam 1 ini memberikan keceriaan kepada lebih kurang 300 pelajar UIAM Kuantan yang berada di asrama mereka.

Beliau berkata kebajikan para pelajar yang tinggal juga diberikan perhatian penting oleh pihak pengurusan universiti dengan penubuhan pasukan kerja baru-baru ini.

“Alhamdulillah kebajikan para pelajar adalah terkawal dan kami telah tubuhkan satu task force untuk bersedia sejak awal lagi untuk membendung COVID-19 dan juga untuk menjaga kebajikan para pelajar kami.

Bekalan makanan sumbangan Ahli Parlimen Indera Mahkota dibawa masuk ke dalam kampus UIAM Kuantan.

“Task force kita juga terdiri daripada sukarelawan masjid dan juga daripada pasukan pengarah kampus,” katanya.

Menurut beliau lagi, para pelajar juga diberikan bantuan makanan dua kali sehari yang disediakan oleh pihak universiti.

“Kita sediakan makan tengahari di masjid UIA dan makan malam di kafe di dalam kawasan asrama secara percuma kepada para pelajar yang tinggal.

“Jadi tiada masalah berkaitan makanan dihadapi oleh para pelajar kita dalam waktu Perintah Kawalan Pergerakan ini,” katanya.

Selain itu, mengulas mengenai tindakan yang akan diambil oleh pihak universiti untuk membendung penularan virus ini dalam kalangan pelajar, beliau berkata pihak universiti mengetatkan kawalan keluar masuk ke dalam kampus bermula tempoh larangan dikeluarkan.

“Kita menyekat semua pergerakan keluar masuk ke dalam kawasan kampus bagi mengelakkan penularan virus ini.

“Dan sekiranya tempoh kawalan ini telah tamat dan para pelajar yang pulang ke kampung kembali semula ke kampus, kita akan membuat saringan menyeluruh di pintu masuk kampus sebelum membenarkan pelajar masuk,” katanya.

Untuk rekod, kampus UIAM Kuantan mempunyai seramai 4,400 pelajar keseluruhan dan yang masih berada di kampus dalam tempoh kawalan ini adalah seramai 297 pelajar. – PAHANGMEDIA

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter
Share on whatsapp
WhatsApp
Share on telegram
Telegram

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download
Please follow and like us:
error