En. Bazaai Ahmad, 60.

30 TAHUN MENYELUSURI DUNIA FOTOGRAFI

Oleh: Fansurina Abdullah
Foto: Muhammad Muslimi Abd Rahim

KUANTAN, 27 OKTOBER 2020: Hampir 30 tahun berpengalaman luas di dalam bidang seni fotografi dan videografi memberikan kekuatan buat En. Bazaai Ahmad, 60, untuk terus menggali ilmu serta teknologi di dalam bidang itu.

Meskipun usia sudah menginjak ke enam dekad, beliau terus membuktikan kecintaannya terhadap fotografi dan videografi dengan kesediaannya untuk mendalami dan menimba ilmu baharu terutamanya teknologi berkaitan yang sering melalui inovasi serta perkembangan pesat seiring kecanggihan terkini.

Beliau yang pernah bertugas sebagai jurugambar di sebuah stesen televisyen swasta mengakui, teknologi pada era 80-an amat berbeza pada masa kini.

Malah, En. Bazaai juga berasa amat bangga kerana beliau berpeluang menyaksikan dan merasai sendiri perubahan teknologi suatu ketika dahulu yang mengggunakan teknologi analog dan kini segalanya mudah dengan kemudahan digital.

“Pada tahun 80-an dulu, kita menggunakan filem untuk merakam gambar-gambar dan kita tidak tahu sama ada gambar itu elok atau pun tidak. Selepas dicuci barulah kita tahu hasilnya menjadi atau tidak dan ini menyumbang kepada peningkatan kos sesuatu proses penghasilan foto itu sendiri,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Penyampaian Hadiah Pertandingan Fotografi dan Videografi anjuran Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) dengan kerjasama Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) Negeri Pahang, Tourism Pahang dan Malaysia Association of Western Australia (MAWA) di Kompleks Ibu Pejabat MPK, di sini, baru-baru ini.

Pada pertandingan itu, beliau telah membolot kemenangan di dalam semua kategori yang disertainya sekali gus menggondol hadiah kemenangan berjumlah hampir RM2,000.

Hadiah telah disampaikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Hajah Shahaniza Shamsuddin.

Hadir sama ialah Yang Dipertua MPK, YH. Dato’ Hamdan Hussin, Pengarah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) Negeri Pahang, YH. Dato’ Haji Idros Yahya dan Pengurus Besar Tourism Pahang, YH. Dato’ Ishak Mokhtar.

Tambahnya, kecanggihan teknologi kini memberikan kemudahan kepada jurugambar profesional mahu pun amatur untuk menghasilkan gambar yang cantik sebaik sahaja foto dirakam.

“Ini bukan sahaja menjimatkan masa, malah memudahkan proses penghasilan foto dan video serta mudah untuk dimuat naik di laman-laman web dan juga media sosial,” katanya.

En Bazaai juga mengakui, minatnya yang mendalam terhadap seni foto dan video mendorongnya untuk terus mencuba sesuatu yang baharu terutamanya teknologi fotografi yang melalui proses inovasi sealiran perkembangan teknologi semasa.

“Saya mencuba peralatan-peralatan fotografi yang terkini, teknologi videografi yang terkini serta menimba ilmu baharu demi memastikan kualiti gambar dan video yang dihasilkan dapat ditingkatkan,” katanya. – PAHANGMEDIA

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter
Share on whatsapp
WhatsApp
Share on telegram
Telegram

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download
error: