Ketua Polis Daerah Kuantan, ACP Mohamad Noor Yusof Ali mengadakan pemeriksaan pada Program Polis Bersama Komuniti dan Pemantauan Pematuhan Covid-19 di Sungai Lembing, di sini semalam.

278 INDIVIDU DIKOMPAUN KESALAHAN TIDAK PAKAI PELITUP MUKA DI KUANTAN

Oleh : Ain Nadhirah Basha

KUANTAN, 22 NOVEMBER 2020 : Sebanyak 278 individu dikenakan tindakan kompaun akibat kesalahan tidak memakai pelitup muka di daerah ini sehingga kelmarin.

Ketua Polis Daerah Kuantan, ACP Mohamad Noor Yusof Ali berkata kesalahan tersebut merupakan kesalahan tertinggi yang direkodkan berbanding kesalahan lain.

“Jumlah kompaun melibatkan individu di daerah ini adalah sebanyak 298 kompaun dan 278 daripadanya adalah kesalahan melibatkan tidak memakai pelitup muka.

“Kesalahan kedua tertinggi pula adalah gagal mendaftar masuk ke mana-mana premis sama ada melalui imbasan kod MySejahtera atau catatan di buku di mana 10 individu telah dikenakan tindakan kompaun,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas melakukan Program Polis Bersama Komuniti dan Pemantauan Pematuhan Covid-19 di Sungai Lembing, di sini semalam.

Beliau berkata alasan yang kerap diberikan oleh mereka yang dikenakan kompaun kerana tidak memakai pelitup muka ini adalah terlupa dan tertinggal.

“Kalau terlupa, kita nasihatkan mereka untuk memakai pelitup muka kerana kita faham, manusia ini kadang kala terlupa, ada yang letak di beg, dalam poket. Tetapi kompaun dikeluarkan apabila kita periksa mereka, tapi mereka tiada pelitup muka.

“Maknanya dia daripada rumah dia ke kedai atau dari mana sebelum itu ke kedai, dia tak ada pelitup muka. Nak kata dia terlupa memang dia tak bawa pelitup muka, jadi ini kita tak boleh biarkan.

“Tapi kalau nak duduk makan dalam kedai tak payah pakai pelitup muka, masa masuk dan keluar sahaja. Kompaun ini juga kita keluarkan selepas pasukan pemantau kita buat tinjauan dari sebelum individu itu masuk ke premis, dia memang tak pakai pelitup muka,” katanya.

Mengulas mengenai pemantauan di sekitar kawasan Panching dan Sungai Lembing hari ini, beliau melahirkan rasa puas hati denga pematuhan di kawasan ini.

“Setakat ini kita puas hati dengan apa yang kita lihat di kawasan-kawasan ini. Orang ramai yang ada walaupun tidak ramai hari ini dilihat mematuhi semua peraturan yang digariskan.

“Kita juga mengadakan pemeriksaan mengejut di kawasan tumpuan orang ramai seperti Gua Charas, terowong, dan chalet yang ada kerana kita nak buat pemeriksaan kalau ada orang luar daripada Pahang datang, jadi kita akan buat semakan berkaitan kebenaran pergerakkan mereka. Setakat ini ada yang kita periksa, surat kebenarannya telah disahkan,” katanya. -PAHANGMEDIA

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter
Share on whatsapp
WhatsApp
Share on telegram
Telegram

 1,017 total views

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download
error: