22 RUMAH DI TAMAN GAMBANG DAMAI DIKOSONGKAN

KUANTAN, 6 JANUARI 2021: Pihak berkuasa mengarahkan 22 buah rumah di Taman Gambang Damai, di sini, dikosongkan segera atas faktor keselamatan susulan berlaku pergerakan tanah di kawasan berkenaan.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Perumahan Negeri Pahang, YB. Dato’ Abd Rahim Muda berkata, daripada jumlah berkenaan, empat daripadanya dikenal pasti amat berisiko, selepas didapati ada kerosakan pada struktur binaan kediaman serta kesan pergerakan tanah yang serius.

“Sebanyak 59 mangsa daripada 11 keluarga terbabit sudah berpindah ke sebuah resort terletak berhampiran taman perumahan itu, untuk sementara waktu.

“Saya difahamkan hanya 11 rumah terbabit berpenghuni, termasuk sebuah yang roboh, manakala baki kediaman lain dijadikan rumah tamu dan kosong ketika kejadian,” katanya di sini semalam.

YB. Dato’ Abd Rahim berkata, berdasarkan laporan awal, kejadian itu dipercayai berlaku akibat pergerakan tanah di kawasan cerun susulan hujan berterusan sejak beberapa hari lalu.

“Pihak Jabatan Mineral dan Geosains akan menjalankan siasatan lanjut bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian dan dijangka mengambil masa seminggu bagi mengenal pasti punca kejadian dan menilai risiko, sebelum tindakan lanjut diambil.

“Kerajaan Pahang tidak mahu mengambil risiko. Justeru sebagai langkah selamat, semua rumah yang berisiko telah diarah supaya dikosongkan sementara menunggu siasatan selesai,” katanya. – PAHANGMEDIA

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter
Share on whatsapp
WhatsApp
Share on telegram
Telegram
ARTIKEL POPULAR

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download