Menteri Besar Pahang, YAB Dato' Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail bersama calon SPM yang menerima insentif pembelajaran secara online di Wisma Sri Pahang.

19,254 CALON SPM TERIMA INSENTIF PEMBELAJARAN SECARA ONLINE

Oleh: Fairus Mohd & Fansurina Abdullah
Foto: Muhammad Muslimi Abd Rahim

KUANTAN, 2 DISEMBER 2020: Seramai 19,254 orang calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di negeri ini menerima insentif pembelajaran secara online dengan nilai keseluruhannya RM962,700.

Menteri Besar Pahang, YAB Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, insentif tunai sebanyak RM50 diberi kepada semua calon SPM di seluruh negeri ini melibatkan 11 buah daerah merangkumi 14 buah Parlimen, 42 Dewan Negeri dan 214 sekolah.

“Insentif yang diperkenal dan dilaksanakan ini tidak lain menunjukkan sikap prihatin yang tinggi Kerajaan Negeri kepada soal kebajikan para pelajar, khususnya yang menghadapi kesukaran pembelajaran dalam tempoh mencabar wabak pandemic COVID-19 yang masih membelenggu kini.

Menteri Besar Pahang, YAB Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail

“Ia juga berjaya dilaksanakan berikutan Kerajaan Negeri mempunyai kedudukan kewangan yang kukuh, yang pertama kali dalam sejarah, Belanjawan 2021 mencecah angka RM800 juta berbanding tahun-tahun sebelum itu sekitar kira-kira RM700 juta dan RM600 juta,” katanya pada majlis penyerahan insentif pembelajaran secara online bagi calon-calon SPM di Wisma Sri Pahang, di sini hari ini.

Pada majlis berkenaan hanya wakil dari empat buah Dewan Negeri hadir pada simbolik penyerahan insentif berkenaan manakala baki peruntukan tunai akan dimasukkan ke dalam akaun Pusat Khidmat Dewan Negeri untuk diserahkan kepada pelajar di kawasan masing-masing.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Sains, Teknologi, Inovasi, Komunikasi, dan Multimedia Negeri Pahang, YB. Dato’ Haji Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff; Pengarah Pendidikan Pahang, Tuan Haji Zaimi Abu Bakar serta barisan Exco Kerajaan Negeri Pahang.

Menteri Besar Pahang, YAB Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail menyampaikan sumbangan insentif pembelajaran secara online bagi calon-calon SPM kepada Pengerusi Jawatankuasa Sains, Teknologi, Inovasi, Komunikasi, dan Multimedia Negeri Pahang, YB. Dato’ Haji Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff di Wisma Sri Pahang.

Dalam pada itu, YAB Dato’  Sri Haji Wan Rosdy berkata, Kerajaan Negeri turut meneruskan pemberian insentif sebanyak RM100 kepada murid yang akan memasuki tahun satu pada tahun hadapan (2021).

“Insentif masuk sekolah ini telah kita laksanakan sebelum ini dan pada tahun hadapan seramai 24,738 orang murid bakal medaftar masuk ke tahun satu.

“Pemberian insentif ini melibatkan peruntukan RM2.47 juta dan kita akan terus memberi mengikut kemampuan kewangan semasa kerajaan negeri. Apa yang kita dapat (keuntungan), kita akan bagi semula kepada rakyat,” katanya.

Katanya lagi, Kerajaan Negeri akan memikirkan kesesuaian pemberian insentif sama ada dalam bentuk barangan atau tunai kepada pelajar pada masa akan datang.

“Kita tanya sendiri kepada mereka (pelajar) apa yang diperlukan untuk belajar terutamanya dalam keadaan wabak COVID-19 yang masih belum reda ini.

“Tunai mahupun keperluan seperti buku latihan, buku rujukan dan alat tulis boleh diberi.. Bergantung kepada kemampuan semasa, tapi setakat ini kita akan kekal bagi amaun sama walaupun (jika) pendapatan negeri berkurangan,” katanya. -PAHANGMEDIA

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter
Share on whatsapp
WhatsApp
Share on telegram
Telegram

 871 total views,  6 views today

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download