Sebahagian 17 individu yang didakwa di Mahkamah Majistret Pekan akibat melanggar Perintah Kawalan Pergerakan yang dikuatkuasakan sejak 18 Mac lalu.

17 INDIVIDU TERMASUK REMAJA DIDAKWA LANGGAR PKP

Oleh: Fairus Mohd

PEKAN, 30 MAC 2020: Bosan duduk rumah, mahu pergi ziarah kubur, sengaja keluar melepak dengan kawan dan mahu mengambil teman wanita untuk dibawa ke Kuantan merupakan antara alasan mereka yang ditahan pihak berkuasa sepanjang OP COVID-19 di daerah Pekan sejak lima hari lalu.

Natijahnya, seramai 17 orang termasuk seorang wanita orang asli dan empat remaja lelaki bawah umur mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di sini atas tuduhan gagal mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi membendung penularan COVID-19.

Kesemua tertuduh berusia lingkungan 16 hingga 56 tahun itu membuat pengakuan berkenaan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Azizah Ahmad.

Mengikut kertas pertuduhan, mereka didakwa melakukan kesalahan berhimpun di dalam kawasan yang merupakan kawasan tempatan jangkitan bagi maksud sosial dan dengan itu telah melakukan kesalahan di bawah Peraturan 3(2) Peraturan-Peraturan Pencegahan & Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 7(1) Peraturan yang sama dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Semua tertuduh didakwa mengikut Peraturan 7(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM1,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya.

Majistret Azizah Ahmad kemudiannya memerintahkan tertuduh membayar antara RM900 hingga RM1,000 dan menjalani hukuman penjara sebulan sekiranya gagal membayar denda.

Empat tertuduh juvana dibenar diikat jamin RM500 dengan seorang penjamin dan mahkamah menetapkan 2 Jun ini bagi sebutan semula kes terhadap semua tertuduh bawah umur sementara menunggu laporan akhlak mereka daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nurhalimatun Saadiah Abdullah manakala semua tertuduh diwakili peguam Ahmad Deniel Roslan dan peguam Ahmad Zamir Zamri daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK). – PAHANGMEDIA

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter
Share on whatsapp
WhatsApp
Share on telegram
Telegram

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download
Please follow and like us:
error
error: