Anggota polis di PKRC SUKPA bersiap sedia untuk menghantar 158 warga asing daripada Kluster Jalan Genting yang sudah sembuh wabak COVID-19 pulang ke Genting Highlands petang tadi.

168 PESAKIT COVID-19 DI SUKPA DIBENARKAN PULANG

KUANTAN, 20 DISEMBER 2020: Kesemua pesakit COVID-19 warga asing yang sebelum ini ditempatkan di Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 di Stadium Tertutup Kompleks Sukan Pahang (SUKPA) dibenarkan pulang hari ini apabila kesemua mereka sudah sembuh.

Pengarah Majlis Keselamatan Negara (MKN) Negeri Pahang Mohd Zairasyahli Shah Zakaria berkata 158 pesakit dari Kluster Jalan Genting dihantar pulang ke Genting Highlands dengan menaiki bas yang disediakan oleh Kerajaan Pahang kira-kira jam 2 petang tadi manakala bakinya pesakit dari Kluster Kuala di sekitar daerah ini dibenarkan pulang kira-kira jam 5 petang tadi.

Beliau berkata, SUKPA akan terus diwartakan sebagai PKRC bagi warga asing dan akan beroperasi semula sekiranya ada keperluan pada masa akan datang.

“Selepas SUKPA dikosongkan proses sanitasi akan dilakukan oleh pasukan bomba bermula malam ini,” katanya ketika dihubungi, di sini hari ini.

Pada 10 Disember lalu SUKPA diaktifkan sebagai PKRC bagi menempatkan pesakit COVID-19 warga asing berisiko rendah dan tidak memerlukan rawatan khusus ekoran peningkatan kes positif daripada Kluster Jalan Genting.

Dengan pembukaan PKRC ini, rawatan kepakaran kepada rakyat Pahang tidak terjejas di mana pakar-pakar di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) dan Sultan Ahmad Shah Medical Centre University Islam Antarabangsa Malaysia (SASMEC) seperti pakar jantung, pakar bedah dan lain-lain terus memberi rawatan kepakaran kepada kes-kes warga tempatan.-PAHANGMEDIA

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter
Share on whatsapp
WhatsApp
Share on telegram
Telegram

 9,669 total views,  6 views today

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download