Oleh : Fansurina Abdullah
Foto: Putera Falliq Hakim Suhairi
KUANTAN, 3 SEPTEMBER 2020: Sebanyak 16 sekolah dan 12 perpustakaan di seluruh Malaysia terlibat dalam Program Sambutan Ulangtahun ke 50 Rukun Negara yang diadakan bermula 24 Ogos sehingga 15 September depan.
Program kerjasama Kementerian Perpaduan Negara dan Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) ini bertujuan meningkatkan penghayatan terhadap Rukun Negara.
Penyelaras Jerayarawa Sambutan Ulangtahun ke-50 Rukun Negara, Puan Hasnita Ibrahim berkata, sambutan ini juga bagi menyemarakkan semangat cintakan negara bertepatan dengan sambutan Hari Kemerdekaan dan Hari Malaysia pada September ini.
“Sepanjang program ini, kesemua peserta terpilih akan menyertai pelbagai aktiviti yang dianjurkan antaranya kuiz, tayangan video Rukun Negara di samping menyerahkan bahan-bahan promosi program sambutan Rukun Negara ini kepada pihak sekolah dan perpustakaan terpilih,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Sambutan Ulangtahun ke-50 Rukun Negara di Perpustakaan Negeri Pahang, di sini, hari ini.
Beliau berharap menerusi sambutan seumpama ini dapat menyebarluaskan kepentingan Rukun Negara menerusi media sosial kerana kekangan ekoran perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) yang menghadkan penganjuran program yang melibatkan penyertaan orang ramai.
Menurutnya, negeri Pahang merupakan negeri ke-10 bagi jelajah Program Sambutan Ulangtahun ke-50 Rukun Negara ini selepas beberapa negeri di bahagian utara Malaysia sebelum berkunjung ke negeri-negeri di selatan semenanjung Malaysia beberapa hari lagi.
Sambutan kemuncak program ini akan diadakan di Kuala Lumpur pada 15 September 2020 nanti. – PAHANGMEDIA