Menteri Besar Pahang, YAB. Dato' Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail dan tetamu kehormat bersama penerima kunci rumah pada Majlis Penyerahan Kunci Rumah Projek PR1MA Pahang Kuala Lanar, Kuala Lipis, hari ini.

154 TERIMA KUNCI RUMAH PR1MA DI LIPIS

Oleh : Fansurina Abdullah
Foto : Muhammad Muslimi Abd Rahim

KUALA LIPIS, 7 NOVEMBER 2020 : Seramai 154 pemilik rumah projek Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) menerima kunci kediaman masing-masing yang disampaikan oleh Menteri Besar Pahang, YAB. Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail pada Majlis Penyerahan Kunci Rumah Projek PR1MA Pahang Kuala Lanar di Dewan Residen, di sini, hari ini.

YAB Dato’ Sri Haji Wan Rosdy berkata, Kerajaan Pahang sememangnya prihatin terhadap keperluan rakyat terutamanya aspek perumahan mampu milik mengikut kategori dan kemampuan rakyat.

Menurutnya, kerajaan negeri menyediakan pelbagai projek perumahan mengikut kemampuan rakyat antaranya adalah PR1MA (RM150,000), Rumah Makmur (RM80,000) dan Rumah Rakyat Pahang (RRP) yang diberikan secara percuma kepada pemiliknya.

Menteri Besar Pahang, YAB. Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail menyampaikan ucapan pada Majlis Penyerahan Kunci Rumah Projek PR1MA Pahang Kuala Lanar, Kuala Lipis, hari ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Perumahan Negeri Pahang, YB. Dato Rahim Muda berkata, daripada 154 penerima kunci tersebut, hanya 50 sahaja dibenarkan hadir pada majlis penyerahan kunci tersebut kerana mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) manakala 104 pemilik rumah akan menerima kunci di Kuala Lanar.

Beliau berkata, 154 unit rumah tersebut adalah bagi fasa pertama, manakala 140 unit bagi fasa kedua kini sedang dalam pembinaan dan fasa ketiga pula sebanyak 228 akan siap pada tahun hadapan.

“Fasa 1 bagi projek ini sudah siap sepenuhnya dan fasa dua sedang dalam pembinaan dan fasa ketiga akan disiapkan pada tahun hadapan. Keseluruhannya ada 522 unit rumah PR1MA,” katanya ketika ditemui Unit Komunikasi dan Media Pahang (UKOMP) selepas Majlis Penyerahan Kunci Rumah Projek PR1MA Pahang Kuala Lanar, di sini.

Hadir sama ialah Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Bioteknologi Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Ir. Haji Mohd Soffi Tan Sri Abd Razak; Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar dan Hal Ehwal Orang Asli Negeri Pahang, YB. Dato’ Abd Aziz Haji Mat Kiram; Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar, YB. Dato’ Sri Abdul Rahman Mohamad dan barisan kepimpinan daerah Lipis.

Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar yang juga Ahli Parlimen Lipis, YB. Dato’ Sri Abdul Rahman Mohamad menyampaikan ucapan Majlis Penyerahan Kunci Rumah Projek PR1MA Pahang Kuala Lanar, Lipis, hari ini.

Katanya, permintaan rumah di Daerah Lipis sangat tinggi dan pihaknya akan berusaha untuk menyiapkan pembinaan rumah-rumah tersebut dalam masa terdekat.

Kerajaan Pahang telah menyediakan sebanyak 117 projek rumah PR1MA di seluruh Pahang dengan lebih 33,000 unit rumah bakal dibina bagi memenuhi keperluan rakyat yang berhasrat memiliki rumah mengikut kemampuan masing-masing.

Dalam pada itu, beliau berkata kerajaan negeri sangat prihatin terhadap rakyat yang tidak mampu memiliki rumah PR1MA dengan melaksanakan projek Rumah Makmur dan RRP di seluruh negeri ini.

Pada penghujung November ini, kesemua 98 unit RRP yang diberikan percuma kepada 98 rakyat terpilih bakal disiapkan di seluruh Pahang.

“Dan Rumah Rakyat Pahang, InsyaAllah akhir bulan November sebanyak 98 unit rumah akan siap dibina dan kemungkinan akan dirasmikan sendiri oleh Menteri Besar Pahang sekali gus merasmikan tapak Perumahan Makmur di Tanjung Jambu,” katanya. – PAHANGMEDIA

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter
Share on whatsapp
WhatsApp
Share on telegram
Telegram

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download
error: