Pameran seni bertemakan The Millennial Show yang menampilan karya 13 pelukis muda dipamerkan di Kafe 90 Degrees Cafe & Art di sini bermula 28 September hingga 30 November in

13 PELUKIS MUDA PAMER KARYA DI PAMERAN THE MILLENNIAL SHOW

Oleh: Ain Nadhirah Basha
Foto: Muhammad Muslimi Abd Rahim

KUANTAN, 10 NOVEMBER 2020: Sebuah pameran seni bertemakan The Millennial Show yang menampilan karya 13 pelukis muda dipamerkan di Kafe 90 Degrees Cafe & Art di sini bermula 28 September hingga 30 November ini.

Kurator pameran, Nur Khairi Hamidi, 24, berkata, pameran yang bertujuan untuk meningkatkan perasaan menghargai karya seni melalui lukisan dan karya ini merupakan satu platform baharu kepada para pelukis muda untuk mempamerkan bakat mereka dalam bidang seni.

“Kesemua 16 hasil karya yang dipamerkan di sini merupakan suara para artis yang ditonjolkan melalui pelbagai jenis material, cara dan genre. Kita cuba membawa nafas baharu dalam karya seni yang mana lebih bebas dan tidak terikat dengan karya terdahulu,” katanya ketika ditemui Unit Komunikasi dan Media Pahang (UKOMP) di sini.

Pameran seni bertemakan The Millennial Show yang menampilan karya 13 pelukis muda dipamerkan di Kafe 90 Degrees Cafe & Art di Kuantan.

Nur Khairi berkata, idea untuk membuat pameran di sini ini datang daripada pemilik kafe ini sendiri iaitu Cik Leong Shen Yee dan Cik Jessin Wong yang menawarkan ruang tingkat atas kafe sebagai ruang pameran.

“Selain itu kita juga ingin mencari nafas baharu dengan keluar daripada kawasan Kuala Lumpur yang sangat sinonim dengan pameran-pameran seni ini. Jadi Kuantan adalah satu tempat yang kita rasa sesuai.

“Kita sebenarnya bercadang untuk mengadakan pameran ini pada bulan Mac namun terpaksa ditunda akibat Perintah Kawalan Pergerakkan (PKP) dan setelah mengambil kira pelbagai faktor, kita jalankan pameran ini bermula September lepas,” katanya.

Menurutnya lagi, selain mempamerkan hasil karya seni pelukis-pelukis muda ini, hasil karya yang dipamerkan juga dibuka untuk jualan yang boleh dibeli bermula daripada RM250 sehingga RM2,000.

“Pameran ini juga adalah satu pameran yang mampu milik di mana ingin menggalakkan orang ramai untuk membeli hasil seni ini bagi menyokong para pengiat seni. Setakat ini, kita telah menjual sebuah karya bertajuk Titian Emas Siri 1 berharga RM1,000 dan telah menarik hampir 400 orang pengunjung sejak pameran ini dibuka,” katanya.

Pameran yang dibuka bermula 10 pagi sehingga 10 malam setiap hari kecuali Selasa ini turut menampilkan karya oleh empat anak muda daripada Pahang iaitu Amalia Ilyana, Nazhan Fikri, Norafandi Rosli dan Fadzril Fakaruddin.

Penggiat seni lain yang turut terlibat dalam pameran ini ialah Aimman Hafizal, Amirul Yazid, Amri Ibrahim, Anugerah Gee, Hana Tan, Giko, Nadzrin Haziq,Rais Azmi dan Wan Muhammad Eiman. – PAHANGMEDIA

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter
Share on whatsapp
WhatsApp
Share on telegram
Telegram

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download
error: