Oleh: Ain Nadhirah Basha
Foto: Muhammad Muslimi Abd Rahim
KUANTAN, 06 OKTOBER 2020: Polis menahan seramai 12 individu selepas didapati melanggar Perintah Kawalan Pergerakkan Pemulihan (PKPP) di sebuah pusat snooker di Jaya Gading di sini, malam tadi.
Kesemua individu termasuk seorang pemilik premis berusia 17 tahun sehingga 23 tahun itu ditahan dalam satu pemantauan oleh pihak polis kira-kira jam 10 malam.
Ketua Polis Daerah Kuantan, Tuan ACP Mohamad Noor Yusof Ali berkata, kesemua tangkapan ini melibatkan kesalahan gagal menyediakan catatan keluar masuk di premis berkenaan.
“Mereka dikenakan kompaun sebanyak RM1,000 seorang dan perlu menyelesaikannya dalam tempoh 14 hari dari tarikh dikeluarkan,” katanya ketika ditemui selepas melakukan pemantauan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tengku Panglima Perang Tengku Muhammad di Bandar Indera Mahkota di sini hari ini.
Beliau berkata, kesemua mereka gagal mendaftar masuk ke premis berkenan yang tidak menyediakan buku pendaftaran atau imbasan kod QR kepada pelanggan.
“Ini semua tertakluk kepada Peraturan 10(1) Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah Di Dalam Kawasan Tempat Jangkitan) 2020,” katanya.
Tambah beliau lagi, pihaknya juga akan memaklumkan kepada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) termasuk menghantar surat bagi memastikan pengusaha pusat snooker itu diambil tindakan sewajarnya.
“Tindakan ini mungkin lesennya wajar dipertimbangkan untuk ditarik kerana kegagalan ini (menyediakan catatan keluar masuk premis) adalah tidak wajar dan ketidakpatuhan ini dilihat sengaja dilakukan,” katanya. -PAHANGMEDIA
254 total views