KUANTAN, 1 DISEMBER 2020: Hujan lebat sejak tengah malam tadi menyebabkan kira-kira 11 rumah penduduk di FELDA Kota Gelanggi 1 di Jerantut dinaiki air.
Bagaimanapun, setakat ini tiada mangsa dilaporkan dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan (SK) FELDA Kota Gelanggi 1.
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal FELDA, Koperasi, Usahawan dan Hal Ehwal Pengguna Negeri, YB. Dato’ Haji Nazri Ngah berkata, agensi-agensi terlibat telah diarahkan untuk bersiap sedia bagi menghadapi sebarang kemungkinan.
“Setakat ini dilaporkan terdapat 11 buah rumah dinaiki air yang membabitkan 54 mangsa. Namun setakat ini tiada mangsa dipindahkan ke PPS.
“Kerajaan Pahang bersama agensi terlibat sedang memantau keadaan di situ termasuk memindahkan penduduk yang terlibat ke PPS jika keadaan memerlukan,” katanya di sini hari ini.
Difahamkan paras air dijangka menurun sekiranya tidak berlaku hujan lebat hari ini.- PAHANGMEDIA
1,264 total views, 6 views today