Pengerusi Jawatankuasa Sains, Teknologi, Inovasi, Komunikasi dan Multimedia Negeri Pahang, YB. Dato' Haji Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff bersama pegawai SKMM ketika meninjau menara telekomunikasi di sepanjang Jalan Sungai Koyan, Lipis hingga Lembah Bertam, Cameron Highlands.

11 MENARA KOMUNIKASI DINAIK TARAF KEPADA RANGKAIAN 4G

Oleh: Muhammad Shahrinnahar Abd Latib
Foto: Mahathir Ali

CAMERON HIGHLANDS, 27 OKTOBER 2020: Sebanyak 11 menara telekomunikasi di sepanjang Jalan Sungai Koyan, Lipis hingga Lembah Bertam di sini termasuk sembilan yang baru siap dibina, dinaik taraf kepada rangkaian talian 4G demi memastikan rakyat sekitar dapat menikmati perkhidmatan komunikasi berkualiti.

Pengerusi Jawatankuasa Sains, Teknologi, Inovasi, Komunikasi dan Multimedia Negeri Pahang, YB. Dato’ Haji Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff berkata, inisiatif Kerajaan Pahang bersama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) demi memastikan rakyat mendapat maklumat penting dengan segera.

Pengerusi Jawatankuasa Sains, Teknologi, Inovasi, Komunikasi dan Multimedia Negeri Pahang, YB. Dato’ Haji Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff melihat liputan talian di telefon pintar seorang penduduk di POS Betau di Lipis

“Kita menaik taraf rangkaian telekomunikasi di kawasan ini bagi memberi keselesaan kepada penduduk sekitar. Terima kasih kepada SKMM dan syarikat telco yang terbabit kerana berusaha meningkatkan capaian internet di kawasan ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui Unit Komunikasi dan Media Pahang (UKOMP) ketika melakukan lawatan kerja ke beberapa menara telekomunikasi di sepanjang jalan berkenaan di sini hari ini.

Turut hadir, Pengarah Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) Pahang, Tuan Haji Zahari Ismail dan Ketua Pegawai Eksekutif PahangGo Sdn Bhd, Encik Affandi Mohd Isa.

Pengerusi Jawatankuasa Sains, Teknologi, Inovasi, Komunikasi dan Multimedia Negeri Pahang, YB. Dato’ Haji Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff ketika meninjau menara telekomunikasi di sepanjang Jalan Sungai Koyan, Lipis hingga Lembah Bertam, Cameron Highlands.

Beliau berkata, ketika pandemik COVID-19 ini, Kerajaan Pahang memahami bahawa liputan rangkaian 2G dan 3G terutamanya di kawasan pedalaman sememangnya tidak mampu menampung penggunaan internet yang semakin meningkat.

“Justeru kita menaik taraf menara telekomunikasi yang ada bukan sahaja di laluan ini malah di seluruh negeri. Seperti di 11 menara telekomunikasi ini, kita naik taraf daripada menggunakan teknologi VSAT kepada rangkaian fiber optik dan selesai 5 November lalu,” katanya.

Yani Yokpek, 27, menunjukkan talian di telefon pintar miliknya di POS Betau di Lipis.

Sementara itu, seorang penduduk POS Betau, Yani Yokpek, 27, berkata, dia berterima kasih kepada Kerajaan Pahang dan SKMM kerana menaik taraf talian internet di kawasan kampungnya sejak tahun ini.

“Sekarang saya sudah boleh layari laman sosial ketika berada di rumah. Mahu lihat Youtube pun laju.. . Semua talian pun sudah boleh digunakan di sini.

“Sebelum ini jika mahu menggunakan internet terpaksa pergi ke Sungai Koyan kira-kira 30 minit perjalanan dari rumah. Tetapi sekarang tidak perlu lagi… Terima kasih kepada semua pihak yang terlibat,” katanya.

Pegawai Perubatan Klinik Kesihatan Betau, Dr. Ahmad Fadly Hat, 30.

Bagi Pegawai Perubatan Klinik Kesihatan Betau, Dr. Ahmad Fadly Hat, 30, sebelum ini jika berlaku kecemasan di sekitar kawasan ini memang mengalami kesukaran kerana pihak klinik tidak dapat memaklumkan maklumat kepada hospital besar.

“Alhamdulillah semenjak dinaik taraf kepada kabel optik, talian internet semakin baik dan kelajuannya seperti di bandar, tidak putus. Memang akan memudahkan kerja-kerja kami di klinik ini ,” katanya. – PAHANGMEDIA

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter
Share on whatsapp
WhatsApp
Share on telegram
Telegram

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download
error: