YB Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang, Dato’ Sri Dr. Sallehuddin Ishak menerima sumbangan penutup mulut yang disampaikan oleh wakil syarikat Alliance Steel (M) Sdn. Bhd hari ini.

100,000 TOPENG MUKA AKAN DIEDAR KE SEMBILAN KAWASAN TITIK PANAS DI KUANTAN

Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi

KUANTAN, 14 APRIL 2020 : Kerajaan Negeri Pahang akan mengedarkan 100,000 keping topeng muka kepada sembilan kawasan titik panas di daerah ini dalam masa terdekat.

YB Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang, Dato’ Sri Dr. Sallehuddin Ishak berkata Kerajaan Negeri telah menerima 200,000 keping topeng muka yang disumbangkan oleh Alliance Steel (M) Sdn. Bhd hari ini.

“Sembilan kawasan panas ini adalah Taman Mahkota Aman, Taman Mahkota Permai, Taman Indera Sempurna, Taman Sri Inderapura, Taman Pandan Perdana, Indera Mahkota 2, Felda Bukit Goh, dan dua kawasan baharu di Jaya Gading dan Balok.

“Bagi isi rumah yang mempunyai individu dibawah pemerhatian (PUI), kita anggarkan ada kira-kira 1,200 orang setakat ini, jadi mereka akan diberikan lebih topeng muka,” katanya.

Beliau menerima bekalan topeng muka daripada Ketua Pegawai Teknologi Alliance Steel (M) Sdn. Bhd., Encik Steve Hu.

Turut hadir, Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang, Yh. Dato’ Mohd Zakaria Ibrahim.

YB Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang, Dato’ Sri Dr. Sallehuddin Ishak menunjuklan penutup hidung dan mulut sumbangan Alliance Steel (M) Sdn. Bhd hari ini.

Beliau berkata setakat ini bekalan topeng muka di negeri ini masih mencukupi untuk kegunaan semua pihak.

“Pihak Alliance Steel akan memberi tambahan 300,000 topeng muka lagi pada peringkat kedua selepas ini dengan 10,000 daripadanya adalah topeng muka jenis N95.

“Bekalan topeng muka di negeri ini masih mencukupi berbanding bekalan PPE yang mana kita anggarkan penggunaannya adalah sebanyak 4,000 unit sehari,” katanya.

Beliau juga berharap pihak Taman Perindustrian Malaysia-China Kuantan (MCKIP) dapat mengekalkan status kawasan hijau dalam penularan wabak COVID-19 ini.

Sementara itu, Encik Steven Hu berkata tujuan pemberian topeng muka kepada Kerajaan Negeri ini adalah sebagai tanda sokongan daripada pihaknya kepada kerajaan Pahang dan penduduk setempat.

“Ia juga adalah sebagai tanggungjawab pihak kami bagi memberi sokongan dan bantuan kepada pihak kerajaan dalam masa yang sukar ini,” katanya. -PAHANGMEDIA

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter
Share on whatsapp
WhatsApp
Share on telegram
Telegram

Download applikasi PahangGo

+ Government Linked
+ Simplified Parking Payment
+ Utility Bills
Download